Menangani Anak Mengamuk dengan Bijak: Panduan untuk Ibu Bapa
Menangani Anak Mengamuk dengan Bijak: Panduan untuk Ibu Bapa
15 Februari 2025
Kanak-Kanak Bermasalah Pendengaran: Bolehkah Mereka Bercakap?
Kanak-Kanak Bermasalah Pendengaran: Bolehkah Mereka Bercakap?
16 Februari 2025

Cara Melatih Anak 1 Tahun Bercakap

Sebagai ibu bapa, pasti teruja menunggu saat anak memanggil “mama” atau “abah” buat pertama kali. Namun, perkembangan setiap kanak-kanak berbeza—ada yang sudah boleh menyebut perkataan mudah, sementara yang lain masih membebel tanpa makna. Untuk membantu anak mula bercakap, ibu bapa boleh melakukan beberapa teknik mudah berikut:

1) Tingkatkan Pemahaman Anak

Sebelum anak boleh bercakap, dia perlu memahami maksud perkataan. Oleh itu, ibu bapa perlu melatih pemahamannya dengan cara berikut:

  • Kenalkan anggota badan – Ajak anak menunjuk bahagian tubuh seperti mata, hidung, mulut, tangan, dan kaki.
  • Kenalkan objek sekeliling – Ajar anak mengenal benda di rumah seperti kipas, cermin, pintu, dan televisyen.
  • Beri arahan mudah – Galakkan anak mengikuti arahan ringkas seperti “tutup pintu”, “bagi sini”, atau “simpan dalam laci”.

Semakin kerap anak mendengar dan melihat sesuatu, semakin cepat dia memahami maksudnya.

2) Ajar Bunyi Bermakna

Sebelum kanak-kanak boleh menyebut perkataan penuh, mereka cenderung meniru bunyi yang lebih mudah. Oleh itu, ibu bapa boleh menggunakan bunyi ringkas yang berkaitan dengan sesuatu objek:

  • “Miaw” untuk kucing
  • “Brum brum” untuk kereta
  • “Am” untuk makan
  • “Iiiieee” untuk sesuatu yang busuk

Teknik ini membantu anak mengenali dan mengaitkan bunyi dengan sesuatu perkara. Pastikan ibu bapa menyebut bunyi ini secara berulang dan konsisten. Namun, elakkan memaksa anak meniru sebutan kerana ia boleh membuatkan mereka tertekan.

3) Sebut Perbuatan Harian dengan Jelas

Kanak-kanak belajar dengan memerhati dan mendengar, jadi biasakan bercakap dengan anak sepanjang hari. Contohnya:

  • “Jom kita naik kereta.”
  • “Mama baca buku.”
  • “Ayah buat kerja.”
  • “Adik nak susu?”

Elakkan menggunakan bahasa bayi seperti “bucuk cayang mama ni…” Sebaliknya, gunakan sebutan penuh dan betul seperti “busuk sayang mama ni…” supaya anak membiasakan diri dengan bahasa yang jelas dan mudah difahami.

4) Wujudkan Peluang untuk Anak Meminta

Jika semua keperluan anak sudah tersedia, mereka tidak akan merasa keperluan untuk bercakap. Oleh itu, ibu bapa boleh mewujudkan situasi di mana anak perlu berusaha meminta sesuatu, contohnya:

  • Letak mainan dalam bekas tertutup – Anak perlu meminta pertolongan untuk membukanya.
  • Letak makanan atau minuman di tempat tinggi – Anak akan berusaha berkomunikasi untuk mendapatkannya.

Dengan cara ini, anak akan belajar bahawa bercakap membantu mereka mendapatkan apa yang mereka mahukan.

Kesimpulan

Proses belajar bercakap memerlukan masa dan kesabaran. Sentiasa bercakap dengan anak secara konsisten dan jelas, sambil memberi dorongan yang positif. Dengan teknik yang betul, anak akan lebih mudah membina kemahiran bertutur secara semula jadi. Selamat mencuba! 😊

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Profil Penulis


Puan Ruby Izyan Atika binti Abu Bakar
Speech Language Therapist
Ruby Speech Therapy

 
 
  • Pn Ruby Izyan Atika binti Abu Bakar,
    ibu kepada 5 orang cahaya mata.
  • Ijazah Sarjana Muda Sains Pertuturan UKM 2008
  • Pernah berkhidmat di:
  • Persatuan Sindrom Down Malaysia, Kuala Lumpur
  • Hospital Sultan Abdul Halim, Sg Petani Kedah selama 4 tahun
  • Mula bekerja sendiri sebagai Ruby Speech Therapy pada 2014
  • NASOM Butterworth
  • Mengadakan bengkel terapi pertuturan untuk ibu bapa di seluruh Negara
  • Menubuhkan 3 pusat Early Intervention Program (EIP) di Sungai Petani, Kulim dan Seberang Jaya.
  • Menubuhkan FB Group Ibubapa Prihatin pada 2021
Hi, selamat datang