Sering kali ibu bapa menyatakan bahawa anak mereka memahami arahan tetapi tidak bercakap. Situasi ini boleh dibahagikan kepada dua kategori utama:
Faham Arahan Rutin Sahaja
Anak dalam kategori ini memahami arahan harian seperti membuang pampers dalam tong sampah, datang apabila dipanggil makan, atau bersedia untuk mandi. Namun, kefahaman mereka masih terhad. Contohnya:
- Kadangkala tidak mengikut arahan seperti mengambil barang yang diminta.
- Tidak dapat menunjukkan bahagian badan dengan tepat (misalnya, disuruh tunjuk hidung tetapi menunjuk pipi).
- Hanya menunjukkan gambar yang diminati apabila diminta mengenal pasti objek seperti baju, kasut, atau pokok.
- Anak ini memerlukan lebih banyak latihan kefahaman sebelum mereka benar-benar bersedia untuk bercakap.
Faham Arahan Rutin & Bukan Rutin
Anak dalam kategori ini sudah memahami arahan yang lebih kompleks, seperti:
- Mengenal dan menunjukkan lebih daripada 8 anggota badan.
- Menunjukkan gambar dengan tepat berdasarkan soalan yang ditanya.
- Mengambil barang yang diminta tanpa kekeliruan.
Jika anak dalam kategori ini masih belum bercakap, ibu bapa perlu meneliti kebolehan mereka dalam meniru. Beberapa perkara yang boleh diperhatikan:
✅ Adakah anak boleh meniru pergerakan bibir dan lidah?
✅ Adakah mereka boleh meniru bunyi mudah?
✅ Adakah mereka boleh meniru isyarat tangan?
✅ Adakah mereka boleh meniru cara bermain yang diajarkan?
Jika anak tidak menunjukkan minat untuk meniru, mungkin faktor lain seperti tumpuan yang singkat, terlalu aktif, atau kurang eye contact menjadi penyebabnya.
Bila Perlu Dapatkan Bantuan?
Jika anak memahami tetapi masih tidak bercakap, ibu bapa disarankan membawa mereka berjumpa dengan Terapis Pertuturan dan Bahasa (Speech Language Therapist, SLT) untuk penilaian lebih lanjut. Lebih awal intervensi dilakukan, lebih baik perkembangan anak. Tidak perlu menunggu hingga usia 4 tahun jika latihan boleh dimulakan seawal 2 tahun!